Fadlan punca Stacy, Akim berpisah?
GARA-gara gosip hangat bercinta dengan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy, nama anggota kumpulan VIP, Fadlan Hazim Anuwar nampaknya mula mendapat perhatian ramai peminat di persada hiburan tanah air.
Ada pihak yang menyebarkan gosip, kehadiran jejaka kacak berambut perang itu dalam hidup Stacy atau nama sebenarnya, Stracy Angie Agam, 21, juga dikatakan menjadi punca perpisahannya dengan Akim AF7, baru-baru ini.
Walaupun masih berteka-teki mengenai kisah cinta yang terjalin, Fadlan mengakui dia dan Stacy memang berkawan rapat sejak lebih sebulan lalu.
Kata Fadlan, 19, dia dan Stacy mula berkenalan ketika mereka sama-sama belajar menari di studio tarian milik penyanyi popular itu bersama anggota kumpulan VIP yang lain.
“Stacy juga berkawan baik dengan gitaris kumpulan VIP dan mereka pernah menjadi penari latar Stacy dalam pelbagai persembahannya sebelum ini."
“Saya ikhlas berkawan dengan Stacy kerana dia banyak memberi bimbingan kepada saya untuk menjadi penyanyi yang bagus."
"Maklumlah, perbezaan usia kami dua tahun dan dia memang jauh berpengalaman daripada saya dalam bidang hiburan."
“Saya harap, orang tidak menuduh saya berkawan dengan Stacy kerana ingin menumpang nama besarnya pula,” katanya.
Secara peribadi, Fadlan mengakui dia sangat mengagumi bakat besar dan kelincahan Stacy ketika beraksi di pentas.
“Pada pemerhatian saya, Stacy sangat fokus setiap kali buat persembahan dan ia memang tidak pernah menghampakan peminatnya,” katanya.
Ditanya, sama ada sudah menghidu hubungan Akim dan Stacy sebelum ini, kata Fadlan, pada mulanya, dia memang tidak tahu menahu ‘hubungan cinta’ yang terjalin antara mereka seperti diperkatakan orang.
Malah Fadlan menafikan dia menjadi punca perpisahan antara Akim dan Stacy kerana mereka saling mengenali apabila hubungan kedua-duanya sudah retak.
“Stacy sendiri memberitahu saya hubungannya dengan Akim memang bermasalah sebelum kami berkawan lagi. Kami juga tidak keluar berdua-duaan kerana sering ditemani anggota VIP yang lain kerana mereka juga kawan Stacy,” katanya.
Ditanya sama ada Stacy menepati ciri-ciri gadis idamannya, kata Fadlan, pengalaman pahit putus cinta mengajarnya lebih berhati-hati untuk memilih teman istimewa.
“Saya sering kali putus cinta kerana ramai gadis yang tidak jujur dalam percintaan. Sebab itu, saya kini lebih berhati-hati menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana gadis."
“Sebenarnya, saya juga tidak kisah bercinta dengan golongan artis mahupun orang biasa kerana yang penting dia menyayangi saya yang memang seorang yang ringkas dalam segala hal,” katanya.
Berkongsi perkembangan karier seninya pula, kata Fadlan yang berasal dari Kuala Lumpur, dia bermula dari bidang peragaan sebelum menceburi bidang seni.
“Saya berkecimpung dalam bidang modelling sejak berusia 16 tahun. Saya bukan saja menjadi model di Malaysia saja, malah mendapat peluang di Singapura dan Thailand sebelum ini."
“Bagaimanapun, saya mula melangkah ke bidang lakonan apabila menjadi artis bawah naungan KRU Talents pada Jun 2010 dan mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat mereka."
“Saya menjadi pelakon tambahan untuk mencari pengalaman dan antara drama lakonan saya ialah Hotel Mania serta menjadi pengacara program Paparazzi untuk KRU TV sebelum ini,” katanya.
Kata Fadlan lagi, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menyertai kumpulan VIP apabila ia muncul depan matanya.
“Saya sudah kenal dengan Adam AF sejak kami sama-sama berlakon dalam Hotel Mania. Saya juga tidak menolak peluang keemasan yang datang apabila Adam sendiri menawarkan saya untuk menyertai kumpulan VIP yang juga artis di bawah pengurusan syarikatnya, pada Mac lalu."
“Saya percaya dengan minat dan semangat yang ada saya dapat memberi komitmen
terbaik pada kumpulan VIP. Pada masa sama, saya juga belajar menari dan menyanyi dengan baik sebagai persediaan untuk kami mengadakan mana-mana undangan persembahan bersama VIP,” katanya.
Sumber : Harian Metro
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FadlanpuncaStacy_Akimberpisah_/Article/index_html
Monday, August 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment